~fOllOw mE, i'll fOllOw U~

Sunday, June 27, 2010

Laporan Bina Insan Guru (BIG)

1.0 PENGENALAN

Program Bina Insan Guru merupakan suatu program yang dirangka khas bagi memenuhi keperluan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Kursus Dalam Perkhidmatan (KDPM) untuk memenuhi syarat mendapat Latihan Perguruan dalam pendidikan. Melalui penyertaan dan pengelibatan guru pelatih, matlamat program dalam menetapkan nilai-nilai hidup yang bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan insan guru. Oleh itu, segala pengisian program yang yang dijalankan ini juga selaras dengan asas pembinaan insan guru dapat dipenuhi. Oleh itu, segala pengisian program yang dijalankan ini juga selaras dengan asas pembinaan guru yang berpaksikan kepada pengangan Prinsip Rukun Negara sekaligus menjadi asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan Negara bangsa.

Melalui Program Bina Insan Guru ini, pelajar juga dapat menunjukkan ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran agama, meningkatkan semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental dan sebagainya. Selain itu, program Bina Insan Guru ini juga berfungsi untuk melahirkan guru yang berakhlak mulia dan bersemangat juang yang tinggi dan mendidik guru supaya mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta dapat memanfaatkan kepada diri, keluarga, masyarakat serta Negara selaras dengan nilai-nilai keguruan. Justeru itu, pengisian-pengisian positif serta penerapan nilai-nilai murni ini juga perlu dalam diri guru agar menjadi contoh dan ikutan kepada anak didik khususnya dan masyarakat amnya dalam mengharungi cabaran di era globalisasi.




2.0 Laporan Program Bina Insan Guru Siri 1/2010

Program Bina Insan Guru Siri 1/2010 telah dijalankan selama 4 hari 3 Malam iaitu pada 8 Februari 2010 hingga 11 Februari 2010. Program ini diadakan di Tapak Perkhemahan IPG Kampus Darulaman dan telah melakarkan 1001 kenangan indah dalam diri saya sebagai salah seorang bakal guru. Ia mengingatkan saya betapa besarnya halangan dan dugaan untuk menjadi seorang guru pada zaman moden ini. Segala aktiviti yang dirancang telah berjalan dengan lancar dan penuh suka duka. Aktiviti-aktiviti bersifat ilmiah yang dirancang mengikut modul tertentu telah berjaya membentuk satu personaliti unggul dalam kalangan guru-guru pelatih di IPG Kampus Darulaman.




2.1 ISNIN (8 Februari 2010)

Pada hari pertama program, pendaftaran peserta telah digantikan dengan pembersihan tapak perkhemahan dan persiapan akhir program BIG. Lebih kurang pukul 9 pagi, saya bersama-sama peserta yang lain berkumpul di tapak perkhemahan. Kemudian, kami mendapat arahan daripada Kem Komanden untuk mengangkut peralatan-peralatan seperti barangan dapur, peralatan perkhemahan, peralatan bagi penjagaan keselamatan dan kebersihan serta lain-lain. Selepas itu, aktiviti pembersihan kawasan tapak perkhemahan dan mendirikan khemah dijalankan. Saya dan rakan-rakan berusaha membersihkan tapak perkhemahan dengan mengutip sampah-sarap yang bersepah. Kemudiannya, aktiviti pemasangan khemah pula dijalankan di bawah pimpinan jurulatih. Beberapa perkara seperti cara memasang khemah, ikatan dan simpulan, kebersihan dan kekukuhan khemah adalah dititikberatkan. Kumpulan kecil dibentuk antara 6 hingga 8 orang untuk berkerjasama mendirikan khemah. Antara aspek penting selepas penyediaan khemah ialah dari segi keselamatan dan kebersihan seperti menyediakan tempat sidaian dan meletakkan racun serangga dikawasan yang perlu dan sebagainya. Melalui aktiviti ini, saya dapat mempelajari nilai bekerjasama, menjaga kebersihan alam sekitar dan dapat menyemai sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Nilai-nilai murni amat penting dan dapat disebarkan kepada para pelajar apabila bertugas di sekolah kelak. Selain itu, saya didedahkan dengan teknik pemasangan khemah yang betul agar segala masalah asas pemasagan seperti rebah, khemah tercabut dapat dielakkan




Pada sebelah petang pula, Latihan Dalam Kumpulan 1 (LDK 1) telah dilaksanakan di Dewan Serbaguna. Saya telah ditempatkan dalam Kumpulan 4 yang terdiri daripada lapan orang termasuklah pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC). Dalam LDK 1 ini, kami didedahkan dengan teknik ikatan dan simpulan di bawah bimbingan Encik Azman. Terdapat empat jenis simpulan dan dua jenis ikatan yang dijarkan kepada kami iaitu simpul manuk, simpul bunga geti, simpul kerusi, ikatan pengail, ikatan tindih kasih, dan simpul buku sila. Contoh ikatan dan simpulan adalah seperti berikut:
a) Simpul Manuk & Simpul Bunga Geti
b) Simpul Kerusi & Simpul Buku Sila
c) Ikatan Pengail & Ikatan Tindih Kasih




Kemudiannya pada sebelah malam, kami menjalani Latihan Dalam Kumpulan 2 (LDK2) yang dikelolakan oleh dua orang kaunselor pelatih daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM ) iaitu Puan Suhada dan Puan Nazriah. Modul yang diketengahkan di dalam LDK ini adalah “ice breaking” yang dipantau oleh Ustazah Che Nazrah Binti Yusof. Aktiviti ini dimulakan dengan setiap peserta dikehendaki mengambil sekeping kertas. Kemudian arahan berikutnya adalah untuk membuat satu bulatan besar sebelum para peserta dibenarkan membuka kepingan kertas tersebut bagi mengetahui isi kandungannya. Kandungan di dalamnya adalah nama haiwan yang bakal dilakonkan oleh peserta seperti kucing, gajah, lembu, kambing, harimau, dan katak. Seterusnya kami diminta untuk membuat bunyi haiwan-haiwan tersebut dan berkumpul mengikut jenis haiwan masing-masing. Setiap kumpulan haiwan ini dijadikan satu barisan dan kami dikehendaki untuk beramai-ramai membunyikan suara haiwan tersebut. Kemuidianya, kami juga dikehendaki menjawab soalan ‘SDS’ secara individual. Melalui LDK 2 tersebut, para peserta dapat saling kenal-mengenali dan merapatkan perhubungan di antara satu sama lain terutamanya di antara peserta yang berlainan agama dan bangsa. Selain itu, saya juga dapat mengenal diri sendiri berdasarkan ujian SDS. Melalui ujian tersebut saya mendapati bahawa saya memiliki sifat mengelak, di mana sifat sebegini perlu wujud dalam diri seorang guru untuk mempertahankan diri, mengelak daripada berlaku perselisihan faham dan sebagainya.




2.2 SELASA (9 FEBRUARI 2010)




Pada hari kedua setelah melaksanakan solat subuh secara berjemaah, kami berhimpun dalam kumpulan dan didedahkan dengan sedikit teknik kawad kaki. Kami juga dikehendaki menyanyikan beberapa buah lagu seperti lagu Kami Guru Malaysia sebelum bersarapan pagi. Selepas itu, kami menguruskan diri sebelum bersiap ke program seterusnya iaitu aktiviti air. Sebelum bertolak, kami bekerjasama dalam menyediakan peralatan untuk melakukan aktiviti air seperti perahu kayak, bot, enjin, dayung dan beberapa alatan lain. Kemudiannya, kami menaiki bas IPDA untuk ke Pusat Rekreasi Tasik Darul Aman. Sebelum aktiviti air bermula, taklimat ringkas tentang teknik mengimbangkan diri dalam air dan berenang telah diberikan oleh jurulatih En Leong Weng Tuck dan Tuan Haji Badarudin Yoep. Penerangan yang diberikan cukup jelas dan mudah difahami. Setelah itu, kumpulan saya merupakan kumpulan pertama yang menjalani aktiviti ‘water confident’. Kami telah didedahkan tentang teknik mengapungkan diri, teknik menegakkan diri di dalam air, teknik berenang secara menelentang dan teknik berenang secara meniarap. Pendedahan ini amat berguna untuk melindungi diri semasa berada di dalam air. Sebagai bakal guru, saya harus peka terhadap perkara ini kerana ada kemungkinan akan ditugaskan di kawasan pedalaman di mana bot menjadi alat perhubungan utama di kawasan tersebut. Maka, pengetahuan berkenaan dapat diaplikasikan untuk mempertahankan diri sendiri dan individu lain. Selain itu, sokongan moral daripada rakan-rakan seperjuangan sewaktu aktiviti dijalankan telah berjaya meningkatkan keyakinan diri untuk melakukan yang terbaik.

Seterusnya, aktiviti selanjutnya ialah berkayak. Aktiviti berkayak dijalankan secara berperingkat-peringkat kerana jumlah perahu kayak yang dibawa tidak mencukupi bagi semua peserta berkayak serentak. Namun demikian, aktiviti yang di jalankan pada skala yang kecil adalah lebih baik kerana pemantauan dapat dilakukan secara lebih terperinci. Sebelum memulakan aktiviti berkayak ini, jurulatih telah memberi latihan tentang teknik mendayung kepada para peserta. Ini memberi ilmu baru kepada pelatih seperti saya kerana tidak mengetahuinya sebelum ini. Pantauan dibuat oleh jurulatih dengan menaiki bot adalah sokongan dan meningkatkan keyakinan kepada pelatih yang sebelum ini tidak pernah menaiki kayak. Adakalanya jurulatih akan menguji kemahiran peserta dengan memandu bot berhampiran dengan kayak peserta dan ombak yang terhasil dari laluan bot itu membuatkan kayak mereka terumbang-ambing dan hilang kawalan untuk sementara waktu. Ini memberi gambaran bagaimana kita akan bertindak bila berlaku kesukaran.
Kenangan manis berkayak mengelilingi satu pulau di sana, pasti tidak akan luput dalam memori saya.




Pada sebelah malam pula, kami menjalani aktiviti Pembinaan Jati Diri 1. Aktiviti ini dimulakan dengan ketua kumpulan diminta tampil ke hadapan untuk memilih beberapa sampul bernombor dan setelah itu satu lagi sampul diserahkan kepada ketua kumpulan berpandukan nombor pada sampul yang diterima pada awalnya. Dalam sampul kedua terdapat dua helaian kertas yang mengandungi situasi dan persoalan yang harus dihuraikan oleh kumpulan masing-masing. Persoalan yang diutarakan adalah berkaitan dengan bidang keguruan. Kemudian. setiap kumpulan kumpulan diberi masa 30 minit untuk berbincang dan setelah itu dikehendaki untuk membentangkan hasil perbincangan itu di hadapan pentas. Kumpulan saya telah membentangkan tajuk Cara Mengatasi Guru yang Bermasalah. Hasil daripada perbincangan, terdapat beberapa cara yang dapat diambil antaranya ialah mengenakan tindakan undang-undang, menurunkan pangkat atau jawatan, mengadakan Hari Kualiti Guru, menjalani sesi kaunseling, menyertai kem atau kursus dan mengadakan pantauan kerja. Berdasarkan aktiviti ini, saya mendapat pengajaran yang sangat berguna di mana saya perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menjadi insan guru yang berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan Negara.




2.3 RABU (10 FEBRUARI 2010)

Rutin biasa pada setiap pagi adalah solat subuh secara berjemaah dan tazkirah. Seterusnya, kami berkumpul di padang permainan untuk kawad kaki serta nyanyian lagu dan diakhiri dengan sarapan pagi. Kemudiannya, kami diberikan taklimat untuk aktiviti darat iaitu ‘Jungle Trekking’ di Bukit Wang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari tapak perkhemahan. Peserta dipecahkan kepada empat buah kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki membawa sendiri alatan masakan kerana di akhir pendakian ini, kami akan memasak mengikut kumpulan masing-masing. Perjalanan ke Taman Reakreasi Bukit Wang mengambil masa hampir setengah jam dan kami diturunkan sebelum tiba ke pintu masuk hutan lipur dan dikerah untuk berjalan kaki sejauh 2 km dengan keadaan jalan yang berbukit-bukit. Lapan orang pegawai perhilitan bertugas ketika itu dah setiap satu kumpulan akan dikawal selia oleh dua orang pegawai dan kumpulan saya diiringi Kak Zurina dan Pak Su.




Pendakian dimulakan setelah taklimat ringkas tentang keselamatan dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pendakian. Melalui pendakian ini, saya dapat merasai rasa pokok Tongkat Ali dan pokok Kacip Fatimah yang sangat pahit. Kira-kira jam 1 tengah hari kami sampai di tapak perkhemahan di situ, lalu menjalankan aktiviti memasak untuk makan tengah hari. Setiap kumpulan dibekalkan beras, ikan kering, telur, cabai kering, kicap, sos, gula, garam dan dua dapur gas. Tepat pada jam 3 petang, kami bertolak pulang ke IPDA tetapi terpaksa berjalan kaki lebih kurang 6 kilometer ke IPDA sebagai denda kerana tidak mengikut arahan Kem Komanden. Kegagalan untuk balik ke tapak program secara menyeluruh meyebabkan teguran keras terhadap peserta oleh ketua jurulatih sekali lagi menguji kecekalan peserta. Hal ini berlaku akibat seorang cedera dan dua orang peserta lagi membantu untuk mendapatkan rawatan perubatan.




Melalui aktiviti ini, saya dapat mengenali habitat flora dan fauna dengan lebih mendalam berdasarkan penerangan wakil renjer berkenaan. Aktiviti kembara ini juga dapat menjadikan kami supaya sentiasa tadabbur kepada alam. Berbuat baik kepada alam dengan tidak merosakkannya dengan sesuka hati. Aktiviti kembara ini juga menguji kesabaran dalam menghadapi segala cabaran.
Selain itu, ianya juga berjaya mencungkil semangat kerjasama dan saling bantu-membantu kerana pendakian dan kecuraman bukit mennyebabkan laluan dan perjalanan amat mencabar. Kepayahan dalam menyiapkan makanan di tapak persingahan menyebakan aktiviti bersifat ikhtiar diri adalah sangat mencabar. Memasak makanan dengan peralatan yang serba kekurangan telah mempamerkan idea kreatif peserta. Perkongsian makanan yang sedikit antara ahli kumpulan telah mewujudkan sifat bersyukur dan kesederhanaan dalam diri para pelatih. Selain itu, pengalaman berjalan kaki sejauh 6 kilometer member pengajaran kepada kami supaya patuh kepada arahan pihak atasan. Suatu hati nanti apabila ditugaskan ke sekolah, saya tidak akan lari daripada mengendalikan sebarang program anjuran sekolah. Jika saya berada di tempat ketua jurulatih, segala perkara tentang pelajar adalah di bawah tanggungjawab saya. Jadi, jika berlaku sesuatu yang buruk terhadap mereka disebabkan ingkar kepada arahan maka akan timbul pelbagai masalah. Guru juga perlu patuh kepada pihak atasan di sekolah supaya gerak kerja mapu berjalan dengan lancer. Selain itu, persediaan mental, fizikal dan emosi amat diperlukan menyebabkan banyak keluhan dan ketidaksediaan yang dapat diperhatikan sehinggakan timbul rasa pentingkan diri iaitu untuk sampai terlebih dahulu berbanding peserta lain. Melalui aktiviti ini juga, saya mendapat pendedahan tentang pentingnya semangat berpasukan dan peka terhadap rakan-rakan yang lain.




Seterusnya, pada sebelah malamnya pula Malam Kebudayaan dan Penutupan telah dilaksanakan dengan jayanya. Majlis ini bermula tepat pada jam 8 malam. Tetamu kehormat yang akan merasmikan penutupan program ini adalah timbalan pengarah institut perguruan darul aman. Terdapat 4 kumpulan yang akan menghiburkan tetamu yang hadir iaitu 1 kumpulan terdiri dari kesemua peserta lelaki lelaki dan 3 kumpulan yang lain adalah terdiri daripada peserta wanita daripada program PISMP, KPLI dan KDC. Kumpulan saya telah membuat persembahan Tarian Senam Seni Malaysia hasil kolaborasi dengan peserta program KDC. Melalui aktiviti ini, sifat kreatif peserta jelas menonjol dalam menghasilkan sebuah persembahan yang terbaik kerana walaupun masa yang diperuntukkan adalah terhad untuk memikirkan idea serta untuk melakukan latihan namun ianya dapat diatasi dengan baik. Sebagai contoh persembahan dikir barat dari kumpulan lelaki di mana mereka telah menggunakan alatan terpakai seperti baldi dan cerek, untuk dijadikan gong dan drum. Di samping itu, penutupan majlis yang dijalankan amat ringkas dimana tetamu kehormat hanya duduk beralaskan plastik kanvas sahaja, menunjukkan sesuatu program boleh dijalankan dengan baik walaupun kemudahan agak terhad.




Akhir sekali, melalui aktiviti ini para peserta dapat menonjolkan bakat yang terpendam dalam diri seperti kebolehan menyanyi, berlakon dan menari. Malam Kebudayaan ini sendiri telah melakarkan pengalaman manis dan bermakna kepada saya selaku seorang guru pelatih.




2.4 KHAMIS (11 FEBRUARI 2010)




Pada sebelah paginya, kami menjalankan rutin biasa seperti menunaikan solat subuh berjemaah dan sesi tazkirah. Seterusnya kami menikmati sarapan pagi dalam keadaan serba sederhana. Setelah itu kami diarahkan untuk meruntuhkan khemah dan membersihkan khemah tersebut sebelum melipatnya. Apabila semua khemah sudah selesai dilipat dan dihimpunkan, kami bergotong-royong pula membersihkan kawasan kem seperti membersihkan longkang, tandas, dan tempat memasak. Sejurus selepas itu, kami telah menghadiri ceramah tentang Standard Guru Malaysia yang disampaikan oleh pensyarah daripada Jabatan Tekmologi Maklumat dan Komunikasi IPDA. Melalui ceramah tersebut banyak input-input berguna yang dapat saya perolehi. Kemudiannya, lebih kurang jam 11 pagi, satu sesi refleksi bersama mentor dijalankan. Melalui sesi ini, para mentee diarahkan untuk membuat refleksi secara lisan tentang program BIG yang dilalui ini. Para mentee memberi refleksi tentang pengalaman pahit dan manis sepanjang program BIG ini di samping terdapat juga beberapa buah idea dilontarkan sebagai usaha penambahbaikan terhadap program BIG itu sendiri. Selain itu, melalui sesi ini juga mentor telah menyampaikan taklimat tentang format folio laporan program BIG ini.
Seterusnya, acara kemuncak bagi program BIG ini ialah majlis perasmian penutup di mana Ketua Jurulatih dan Kem Komanden telah menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Akhir sekali, sesi bersalaman dan bermaafan dijalankan setelah tamat upacara majlis perasmian penutupan.




3.0 Cadangan Penambahbaikan Program Bina Insan Guru




Terdapat beberapa langkah penambahbaikan yang dapat dilaksanakan untuk meningkatkan lagi mutu Program Bina Insan Guru ini. Aktiviti dalam program ini sepatutnya dirangka menjadi lebih mencabar minda dan mental peserta. Sebagai contohnya dengan mengadakan aktiviti Flying Fox manakala bagi aktiviti Jungle Trekking perlu dilakukan sedikit pengubahsuaian. Dalam program BIG kali ini, modul dalam aktiviti Jungle Trekking tidak begitu mencabar dan agak santai. Dalam usaha melahirkan insan guru yang berhati waja dan perkasa, sepatutnya para peserta diuji dengan ujian mencabar seperti meredah anak sungai ataupun lumpur untuk menguji tahap kecekalan fizikal dan mental mereka. Selain itu, mereka dikehendaki meredah hutan dengan hanya berpandukan kompas dan sebuah peta. Mereka dikehendaki bekerjasama dalam kalangan ahli kumpulan untuk melepasi ujian tersebut. Pendedahan tentang penggunaan kompas amat berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.




Selain itu, untuk aktiviti Ice Breaking perlu dilaksanakan lebih menyeronokkan dan mampu memecahkan temboh pemisah dalam kalangan ahli kumpulan mahupun seluruh peserta. Ice beraking adalah satu sesi yang penting kerana ia bertujuan untuk membuka minda dan pemikiran para peserta sebelum memulakan sesebuah program atau kursus. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah memperbanyakkan permainan yang menyeronokkan dan mampu mencapai misi utamanya. Pengalaman yang dilalui dalam aktiviti ini dapat diaplikasikan oleh bakal guru ketika di sekolah kelak.




Akhir sekali, lokasi tapak perkhemahan seharusnya lebih kondusif. Dari segi fasilitinya, tapak perkhemahan program BIG kali ini tidak begitu memuaskan mungkin kerana masih baharu. Namun demikian, ia seharusnya dibaikpulih untuk kebaikan bersama. Masalah air yang sedikit agak menyukarkan peserta dalam menguruskan diri kerana terpaksa menunggu giliran untuk menggunakannya. Justeru itu, pengurusan masa peserta telah terjejas kerana masalah ini dan sedikit sebanyak mengganggu perjalanan program.




4.0 PENUTUP




Kesimpulannya Program Bina Insan Guru ini berupaya melahirkan pendidik yang berkarisma dan berketerampilan dari semua sudut fizikal, jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek. Tambahan lagi, program ini menjamin pengalaman kepada semua guru pelatih untuk menjadi seorang pendidik yang berguna untuk masyarakat dan negara. Segala aktiviti dalam program ini telah dilaksanakan dengan sebaiknya serta semua peserta telah memberikan komitmen yang menyeluruh terhadap semua aktiviti yang dijalankan.





10 comments:

Anonymous said...

thanks

Selipar Putus said...

mOst welcOme..

farha said...

mintk izin copy.. tqvm

Unknown said...

Salam..
mintak izin amik maklumat dlm ni..
TQ :)

Selipar Putus said...

huhu... sile sile.. :))))

EveLy said...

nk minte ajr bt blog ble?

Anonymous said...

mohon share ye maklumat ni...

aqeelarahim said...

mohon share ye..tq

Selipar Putus said...

welcome. amik aje, no hal.

Anonymous said...

sorry but can i trouble u by asking a bit of information about urslf (like ur name & education lvl) for copyright purpose. after all u deserve a token of appriciation for ur hardwork. tq btw